Strok, atau lebih dikenali juga sebagai Angin Ahmar, adalah satu masalah kesihatan serius yang berlaku apabila otak tidak menerima bekalan darah yang mencukupi. Keadaan ini boleh berlaku sama ada kerana aliran darah ke otak tersekat atau kerana berlakunya pendarahan secara tiba-tiba di dalam otak.

Jenis-jenis Strok
Secara umumnya, terdapat dua jenis strok:
1. Strok Iskemia
Strok ini berlaku apabila saluran darah yang membekalkan darah ke otak tersumbat. Apabila darah tidak sampai, otak tidak dapat menerima oksigen dan nutrien yang sangat penting untuk berfungsi. Tanpa oksigen dan nutrien, sel-sel otak mula mati hanya dalam beberapa minit sahaja.
2. Strok Hemoragik
Strok jenis ini berlaku apabila saluran darah di dalam otak pecah dan menyebabkan pendarahan. Darah yang keluar akan menekan tisu otak lalu merosakkannya. Walaupun lebih jarang berlaku berbanding strok iskemia, strok hemoragik seringkali lebih berbahaya kerana kesannya lebih cepat dan teruk.
📊 Fakta penting: Hampir 90% kes strok adalah strok iskemia, manakala selebihnya melibatkan strok hemoragik.
Disediakan oleh: Faizzatul
