Bezakan Sakit Lutut: Osteoartritis atau Masalah Otot?

Sakit Lutut: Tidak Semua Sama Puncanya

Sakit lutut adalah salah satu aduan paling biasa, sama ada dalam kalangan warga emas mahupun golongan muda yang aktif. Namun, tidak semua sakit lutut berpunca daripada sebab yang sama. Dua punca yang paling kerap berlaku ialah osteoartritis (OA) dan masalah otot di sekitar lutut. Mengetahui perbezaan antara kedua-duanya amat penting supaya rawatan yang diberikan lebih tepat dan berkesan.

Apa Itu Sakit Lutut Disebabkan Osteoartritis?

Osteoartritis ialah satu keadaan di mana rawan pelindung dalam sendi lutut semakin haus dan menipis. Bila rawan ini hilang, tulang dalam sendi akan bergesel antara satu sama lain, menyebabkan kesakitan, kekakuan, dan kadangkala bengkak.

Biasanya, pesakit akan mengadu sakit lutut yang semakin terasa selepas banyak bergerak atau pada hujung hari. Pada waktu pagi atau selepas duduk lama, lutut juga mungkin terasa kaku, tetapi kekakuan itu biasanya hilang dalam masa kurang 30 minit. Lutut mungkin juga berbunyi berkeriuk (crepitus) apabila digerakkan.

Osteoartritis lebih kerap berlaku kepada individu berusia 45 tahun ke atas, terutama mereka yang pernah mengalami kecederaan lutut, mempunyai berat badan berlebihan, atau mempunyai sejarah keluarga dengan masalah sendi.

Sakit Lutut Akibat Masalah Otot

Berbeza pula dengan sakit lutut yang berpunca daripada masalah otot, seperti otot quadriceps, hamstring, betis atau otot pinggul yang tegang, lemah atau tidak seimbang. Kesakitan jenis ini biasanya tidak melibatkan kerosakan pada sendi, tetapi lebih kepada ketegangan otot atau tisu lembut yang menyokong pergerakan lutut.

Antara tanda-tanda biasa termasuk rasa lenguh, tegang, atau sakit bila menggunakan otot tertentu, contohnya semasa mencangkung, menaiki tangga, atau berdiri lama. Masalah otot ini kerap berlaku kepada mereka yang aktif bersukan, baru memulakan senaman, atau mengalami postur badan yang tidak betul.

Bagaimana Nak Bezakan?

Osteoartritis: Sakit lebih dalam sendi, terasa seperti dari dalam lutut. Biasanya disertai dengan bengkak, bunyi sendi, dan kekakuan. Lebih kerap berlaku selepas banyak bergerak atau berdiri lama.

Masalah otot: Sakit lebih kepada permukaan luar lutut, biasanya pada bahagian otot atau tendon. Rasa sakit mungkin datang bila guna otot tertentu atau selepas aktiviti berat.

Kesimpulan

Sakit lutut mungkin nampak sama, tapi puncanya sangat berbeza. Osteoartritis melibatkan kerosakan pada sendi, manakala sakit otot lebih kepada ketegangan tisu lembut. Memahami perbezaannya membantu anda mendapatkan rawatan yang tepat.

Dapatkan Penilaian di Medyna Physiotherapy 📞

📍 Alor Setar: 019-244 9828  |  📍 Sungai Petani: 019-240 0944

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

admin

Writer & Blogger

© 2025 Medirehab Sdn. Bhd. 202201024374 (1470071-M)